bismillah

sura

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful

Say: He is Allah, the One and Only!
Allah, the Eternal, Absolute;
He begetteth not nor is He begotten.
And there is none like unto Him.


- translation by Abdullah Yusuf Ali

Monday, 15 August 2011

Kerajaan Pandang Serius Serangan Penggodam

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Serangan penggodam ke atas beberapa laman web rasmi kerajaan akan memberi kesan besar kepada sistem maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) untuk rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya kerajaan memandang serius serangan penggodam tersebut dan sedang menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara itu.

“Kita akan tunggu laporan bagaimana perkara ini hendak ditangani dan berharap agar tindakan sebegini tidak akan dilakukan secara berterusan, kita perlu beri perhatian dan pihak bertanggungjawab iaitu SKMM kini memantau perkara ini,” katanya kepada selepas merasmikan sambutan Hari Denggi Asean 2011 dan pelancaran semula Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa laman web di negara ini mula digodam selepas satu kumpulan yang bergelar “Anonymous” yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam mengganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.

Kumpulan itu bertindak demikian kerana mendakwa Malaysia menyekat hak asasi dengan membuat sekatan, bukan saja Internet malah tayangan filem dan siaran televisyen.

Muhyiddin berkata kerajaan memberikan jaminan bahawa dasar kerajaan untuk tidak menyaring internet akan terus dilaksanakan.

“Tetapi kalau ada mana-mana pihak yang menyalahgunakan ataupun melanggar beberapa peruntukan dalam undang-undang negara maka SKMM ada hak dan kuasa untuk ambil tindakan.

“Ini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang menyekat hak kebebasan untuk kita dapatkan perkhidmatan menerusi internet. Kita pantau sama ada apa-apa perkara yang boleh membawa kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan beberapa pihak yang mengatakan bahawa Kementerian Pelancongan membazirkan RM1.8 juta apabila mengadakan laman Facebook untuk mempromosikan pelancongan negara, Muhyiddin berkata kabinet akan mendapatkan laporan lengkap daripada menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ng Yen Yenesok.

“Saya tidak dapat maklumat secara terperinci sama ada kadar yang ditetapkan itu munasabah atau tidak, ia telah dibawa ke Parlimen dan dijelaskan. Mungkin kabinet esok akan dapatkan laporan dari menteri dan beliau boleh jelaskan apa asas-asasnya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berselindung mengenai perkara yang melibatkan soal perbelanjaan negara dan beliau yakin kementerian tersebut telah membuat pertimbangan yang agak munasabah mengenai angka itu.

“Ada sesetengah pihak katakan ia agak tinggi sebenarnya, tetapi bagi kementerian itu kadar yang berpatutan, kita tidak boleh lihat Facebook itu macam buka akaun sahaja, urusan-urusan lain mungkin melibatkan kos-kos tambahan,” katanya.

Semalam, Ng menjelaskan kementeriannya memperuntukkan RM1.8 juta untuk mewujudkan, mengurus dan memantau kempen pelancongannya dalam media sosial melalui penyiaran iklan enam acara utama yang memerlukan kos tinggi, sekaligus menolak dakwan kononnya peruntukan itu hanya digunakan untuk mewujudkan laman Facebook Tourism Cuti-Cuti 1Malaysia.

Berita Bertarikh 16 June 2011 Pada 4:25 PM









Isu Mismah : KDN, SKMM Perlu Ambil Tindakan Tegas Pembohongan Laman Web

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Kementerian Dalan Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap portal berita pro pembangkang kerana sering menyiarkan berita yang mengelirukan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata,penyiaran berita yang mengelirukan itu bukanlah pertama kali, malah sering dilakukan termasuk membuat spekulasi untuk menimbulkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan.

“Pelbagai perkara telah diputar belit, bagi saya banyak perkara yang hendak saya jawab dalam blog, bila saya rujuk kepada kedua-dua portal ini (malaysiakini dan malaysiainsider) hati saya sebagai warganegara kecewa kerana lapaoran yang diberikan oleh kedua-dua portal ini hendak menghancurkan negara kita.

“Ini harus diberi perhatian serius oleh KDN dan SKMM, tindakan harus diambil, kita beri kebebasan akhbar bukan sewenang-wenangnya menggunakan media alternatif ini untuk menghancur, memfitnah sesuatu perkara, “katanya kepada UMNO-Online.

Berhubung dakwaan portal pro pembangkang bahawa seorang pemegang kad penduduk tetap mendapat taraf kewarganegaraan dalam tempoh empat jam, Syed Ali menyifatkan berita yang disebarkan itu boleh menyebabkabn rakyat hilang kepercayaan kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan kerajaan Malaysia.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu adalah suatu yang merbahaya kerana boleh menimbulkan suatu suasana tidak sihat di kalangan rakyat kerana mudahnya orang asing memperolehi kerakyatan di negara ini.

“Bab Mismah ini, hari ini rakyat negara hilang kepercayaan, kalau betul apa yang dikatakan itu dalam masa empat jam, sebenarnya mereka tidak tahu Mismah ini dah pohon 12 tahun yang lalu, sebelum ini dia adalah penduduk tetap.

“Perkara ini diputar belitkan, kerana mereka mempunyai niat tidak baik, sebab itu saya desak kepada KDN dan SKMM kena buat suatu tindakan yang serius supaya menajdi pengajaran kepada semua media, portal, media cetak termasuk media nasional supaya lebih bertanggungjawab dalam apa yang dilaporkan,” katanya.

Menurutnya jika tiada tindakan tegas, perkara sebegini akan terus berlarutan dan akan lebih berani menyiarkan apa sahaja berita walaupun tidak mempunyai kesahihan kerana sehingga tiada tindakan dikenakan terhadap mereka hanya sekadar amaran sahaja. -MediaUMNO

Berita Bertarikh 15 August 2011 Pada 1:47pm




PAS harap Jais cepat kemuka hasil siasatan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS berharap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dapat mengeluarkan hasil laporan siasatan berhubung pemeriksaan ke atas Methodist Church, Damansara Utama secepat mungkin.

Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia perlu disegerakan bagi mengelakkan kontroversi berterusan berhubung isu ini yang memberikan kesan buruk kepada masyarakat berbilang agama di negara ini.

Jais sebelum ini memberi jaminan akan mengeluarkan hasil laporan siasatannya selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Saya anggap itu tempoh masa yang lama kerana ini akan menimbulkan pelbagai kontroversi yang tidak baik kepada pelbagai pihak.

"Selagi tidak ada satu penyelesaian dan kata putus apa bentuk tindakan, maka akan timbul pelbagai kenyataan yang tidak baik yang boleh memberikan gambaran yang tidak sihat kepada masyarakat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

PAS juga, katanya tetap mahu bertemu dengan Jais bagi mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku.

"Kami harap selesai siasatan, Jais sedia bertemu PAS kerana kita nak dengar dari Jais apa yang berlaku pada hari itu.

"Kami nak jumpa Jais, nak jumpa gereja, nak dengar sendiri dariapda mereka sebab Jais kata tak serbu, gereja kata serbu.Jadi nak dengar daripada kedua-dua pihak," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

PAS sepatutnya bertemu dengan Jais hari ini namun terpaksa dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.

"Memang kita minta jumpa hari ini tetapi jawapan JAIS telah pun diberikan secara bertulis, atas beberapa perkara kerana kes itu masih dalam siasatan dan atas nasihat Sultan, Jais tidak lagi bertemu dengan mana-mana pihak untuk menjaga maklumat siasatan agar tidak terlepas kepada pihak lain," katanya.

Manakala pertemuan dengan pihak gereja akan berlangsung esok seperti yang dirancang.

Sepuluh pimpinan PAS akan terlibat dalam pertemuan dengan pihak gereja tersebut.

Mereka diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmod, Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abd Rani Osman.

Hazayani Zakaria @ harakah daily ,15 ogos 2011