bismillah

sura

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful

Say: He is Allah, the One and Only!
Allah, the Eternal, Absolute;
He begetteth not nor is He begotten.
And there is none like unto Him.


- translation by Abdullah Yusuf Ali

Thursday, 18 August 2011

Mahkamah Rayuan Putuskan Kerusi Kota Siputeh Tidak Kosong

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kota Siputeh tidak kosong dan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional masih wakil rakyatnya.

Panel tiga Hakim terdiri Datuk Ramly Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Aziah Ali, sebulat suara membenarkan rayuan oleh Abu Hassan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kerusi itu kosong dengan alasan Abu Hassan tidak menghadiri dua mesyuarat dewan pada 2009.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail kemudian membuat permohonan lisan supaya keputusan hari ini ditangguhkan bagi membolehkan beliau membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan tetapi ianya ditolak.

Sebaliknya beliau diminta membuat permohanan penangguhan pelaksanaan hukuman itu secara rasmi.

Mahkamah juga menolak rayuan balas Abdul Isa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan beliau mendapatkan writ quo warranto bagi meminta Abu Hassan membuktikan kenapa beliau berhak menjadi Anggota Dewan UndanganNegeri kawasan Kota Seputeh.

Mahkamah juga memerintahkan agar Abu Hassan dibayar kos RM5,000. SPR tidak memohon sebarang kos.

Pada 16 Nov 2009, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin (kini Hakim Mahkamah Rayuan), membenarkan permohonan Abdul Isa untuk mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukan lagi wakil rakyat bagi kerusi berkenaan selain memerintahkan SPR mengadakan satu pilihan raya kecil.

Pada 24 Nov 2009, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan SPR menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi supaya satu pilihan raya kecil diadakan, sehingga rayuan itu didengar hari ini.

Abdul Isa mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman pada 1 Okt 2009, selepas SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan menetapkan bahawa tidak berlaku kekosongan pada kerusi Kota Seputeh dan bahawa Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Dalam permohonannya, Abdul Isa berkata Abu Hassan gagal menghadiri dua mesyuarat dewan berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos 2009 tanpa kebenaran Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.

Dalam prosiding rayuan hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh, yang mewakili SPR, membangkitkan takrif “dua mesyuarat berturut-turut”.

Katanya kedua-dua mesyuarat yang Abu Hassan tidak hadir bukannya “mesyuarat berturut-turut” berdasarkan Perlembagaan Kedah memandangkan dua mesyuarat itu diadakan pada sesi persidangan dewan yang berbeza.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Abu Hassan, berhujah bahawa anak guamannya itu tidak sihat dan telah diberi cuti sakit untuk dua hari.

Katanya Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah telah berlaku tidak adil terhadap Abu Hassan kerana tidak menerima mahupun menolak surat penjelasan daripada Abu Hassan.

Beliau mempersoalkan kepantasan dan cara Speaker itu mahu diadakan satu pilihan raya kecil.

Sulaiman Abdullah, peguam yang mewakili Abdul Isa, pula berhujah bahawa Speaker itu bertindak betul dalam mengisytiharkan kerusi itu kosong kerana beliau tidak memberikan cuti kepada Abu Hassan.

Di luar mahkamah, Hafarizam yang juga penasihat undang-undang UMNO, berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini memandangkan Abu Hassan tidak dibayar elaun wakil rakyat sejak 2009.

“Ia satu kemenangan buat UMNO dan BN,” katanya. Abu Hassan turut hadir pada prosiding hari ini.

Berita Bertarikh 18 August 2011 Pada 5:13 PM @ umno online

Qazaf: Anwar mohon lucut peguam Zainul Rijal

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan melucutkan peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili kerajaan dan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam saman qazafnya.

Pemohonan itu dibuat melalui peguam yang mewakilinya, Kamar Ainiah Kamaruzaman di Mahakamah Syariah pagi tadi.

Zainul adalah peguam mewakili tiga pihak yang disaman Anwar kerana didakwa mempengaruhi keputusan keengganan Jawi meneruskan tuntutan qazaf Anwar Ibrahim ke atas pengadu kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sedang berlangsung.

Ketiga-tiga pihak tersebut adalah ketua jabatan pendakwaan JAWI, Shamsuddin Hussain, pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful didakwa mengikut qazaf.

Dengan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan Shamsuddin mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf.

Kes yang difailkan pada 2008 itu kini menjangkau lebih daripada tiga tahun tertangguh.

Dalam reaksinya, Anwar yang turut hadir di mahkamah bersama isteri hari ini berkata, campurtangan politik dalam urustadbir mahkamah Syariah merupakan faktor utama kes itu tertangguh.

Malah menurutnya, Zainul dilihat seolah-olah menjadi agen menghalang perlaksanaan Mahkamah Syariah dengan memberi alasan teknikal melibatkan Mahkamah sivil.

"Kita bangkit ialah menuntut supaya prosiding mahkamah syariah berjalan. Itu yang paling penting. Berulang kali diminta untuk dimulakan (prosiding). Tiga tahun belum mula kes dan orang yang pergi ke Suhakam termasuk Persatuan Peguam Muslim ini tidak peduli mahkamah Syariah. Dia guna tiket persatuan.

"Jadi mereka bercakap tentang keperluan menghormati Islam dan mahkamah syariah tapi mereka mengabaikan proses (Syariah) kerana alasan politik. Ia adalah arahan jelas daripada ketua politik. Dalam kes ini apa yang paling buruk adalah penyalahgunaan wang zakat," kata beliau kepada pemberita.

Zainul yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim pernah dikaitkan dengan pembayaran yuran guaman menggunakan wang zakat.

Malah perkara tersebut turut diakui oleh Timbalan Menteri pada sidang Parlimen Jun lalu.

Sementara itu, peguam Kamar Ainiah berkata tuntutan tersebut berpatutan memandangkan beberapa kenyataan Zainul kepada media sebelum ini didakwa telah menjejaskan kewibawaan dan sistem Mahkamah Syariah selain berlawanan dengan etika peguam syarie.

Malah, beliau turut menyifatkan tindakan Zainul tidak profesional selain wujudnya konflik berkepentingan terhadap responden.

“Zainul bertindak secara tidak profesional, tidak jujur dan berniat jahat serta bercanggah dengan menegakkan keadilan, dan melanggar kod etika peguam syarie.

"Saya tidak dapat memberitahu butiran terperinci kerana saya kena sampaikan dulu permohonan tersebut tapi antaranya beliau telah melanggar etika peguam syarie dalam perwakilan di mahkamah syariah," katanya.


Harakahdaily @ 18 Ogos 2011

'Saya dedah paderi Melayu, saya kena ISA'

TEMERLOH, 18 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa orang ramai tidak mempercayai propaganda media Umno pada masa ini yang kononnya menampakkan kumpulan tersebut membela Islam.

Sebaliknya apa yang digembar-gemburkan sekarang hanyalah sekadar mainan isu untuk dipolitikkan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Katanya, pergantungan Umno sekarang hanyalah kepada Melayu setelah mereka tidak yakin lagi untuk meraih majoriti undi bukan Melayu sebab itulah mereka mainkan isu agama dan perkauman.

“Jadi tak perlulah percaya dengan provokasi media Umno pada masa ini yang begitu agresif memainkan isu gereja dan murtad. Kenapa setelah puluhan ribu dilaporkan murtad sepanjang Umno/ N berkuasa baru sekarang tiba-tiba melenting?

“Saya masih ingat dulu saya telah berceramah tentang ada orang Melayu yang dikristiankan dan saya dedahkan ada paderi berbangsa Melayu, tapi selepas itu saya yang kena ISA.

“Saya kalau nak beritahu, Umno kalau betul-betul nak jaga Islam mereka tak tukar cuti hari Jumaat kepada hari Ahad seperti yang berlaku di Johor dan Perlis,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang di Darul Amin, Sungai Gau di sini semalam.

Pada program sehari suntuk itu 1,300 petugas parti di segenap peringkat hadir.

Turut memberi ucapan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sederap Menjana Kemenangan’.

Mohamad Sabu yang sebelum itu menarik perhatian peserta kerana berjalan ke pentas dengan bertongkat, berkata rakyat perlu tahu bahawa hakikatnya Umno bukan pembela Melayu tetapi sedang berpolitik dengan main sentimen Melayu.

Mengenai pilihan raya, beliau berkata Pahang merupakan negeri penting kerana mempunyai banyak kawasan Felda tetapi berpotensi untuk menang jika bekerja kuat mendekati pengundi Melayu Felda dan Melayu kampung.

“Umno/BN diselamatkan di seluruh negara dengan 45 kerusi parlimen yang mempunyai undi Felda, 25 kerusi undi pos jadi mereka hanya perlu 50 kerusi lagi untuk terus berkuasa.

“Tetapi jika undi di seluruh Pahang mengalami swing sebanyak 5 peratus sahaja saya kita Pakatan Rakyat sudah banyak kerusi yang menang,” jelasnya.

Selanjutnya beliau memberitahu, fokus jentera PAS ialah merampas undi Melayu daripada Umno justeru peserta yang hadir mempunyai peranan besar untuk mendekati pengundi Melayu Felda dan Melayu kampung dengan memberi penerangan PAS bersedia ganti Umno.

Tambahnya, di beberapa tempat Umno telah meletakkan banner ‘Umno kalah DAP menang’ bagi menakutkan pengudi Melayu untuk berubah.

Mengenai electroral reform yang dicanangkan oleh Perdana Mneteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan dibentangkan di parlimen, beliau berkata tindakan tersebut berlaku setelah pemimpin Jerman yang akan datang lawat Malaysia telah menegur sistem pilihan raya negara ini ditambah lagi dengan asakan rakyat yang mahukan keadilan.

Khairil Abdul Rahim @ harakah daily/18 Ogos 2011