bismillah

sura

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful

Say: He is Allah, the One and Only!
Allah, the Eternal, Absolute;
He begetteth not nor is He begotten.
And there is none like unto Him.


- translation by Abdullah Yusuf Ali

Wednesday, 17 August 2011

Ibu pejabat DAP Pulau Pinang dibakar

PULAU PINANG, 18 Ogos: Ibu pejabat DAP Pulau Pinang yang disimbah cat merah empat hari lalu, sekali lagi menjadi sasaran dengan percubaan membakar bangunan itu. Kali ini deretan akhbar lama yang diletakkan di luar bangunan itu dinyalakan pada kira-kira jam 3 pagi.

ADUN Komtar Ng Wei Aik, yang menulis di Twitter berkata: “Ada orang cuba bakar HQ DAP Pulau Pinang sekitar jam 3 pagi. Semua suratkhabar di luar HQ dibakar. Serangan kedua selepas empat hari.”

Ketika dihubungi, Ng berkata api berjaya dipadamkan oleh jiran-jiran di kawasan itu dan Jabatan Bomba kira-kira 20 minit kemudian. Bomba datang kira-kira 15 minit kemudian, setelah dihubungi oleh penduduk tempatan, lapor Malaysiakini.

Tindakan mereka berjaya menghalang api daripada merebak ke bahagian lain bangunan itu.

"Sebiji botol dijumpai tetapi kita tidak dapat menentukan sama suspek itu menggunakan minyak tanah untuk memulakan api. Bomba telah ambil botol itu untuk diuji,” katanya.

"Seorang jiran yang tinggal di hadapan bangunan nampak seseorang menaiki motosikal meninggalkan kawasan itu selepas api dinyalakan.”

Ng percaya kejadian itu bermotifkan politik dan katanya, DAP akan membuat laporan polis pagi ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow iakan mengadakan sidang akhbar pada jam 10.30 pagi ini bagi memberikan butiran kejadian kepada wartawan.

Ahad lalu, ibupejabat DAP di Jalan Talipon ini dan pusat perkhidmatan Ng di Lorong Seratus Tahun, disimbah dengan cat.

Pintu masuk, pagar dan lantai kedua-dua premis tersebut disimbah dengan cat oren, manakala papan tanda disimbah cat merah.

Sebuah kereta yang diletakkan di hadapan pusat perkhidmatan Ng juga turut disimbah cat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada sidang akhbarnya semalam berkata serangan cat empat hari lalu mungkin berkaitan dengan tindakan Majlis Fatwa Pulau Pinang yang membuat larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh.

Harakahdaily @ 18 Ogos 2011

Setelah 54 Tahun Mengapa Baru Sekarang Bacaan Al Quran Dikatakan Mengganggu??

SEPANG, 18 Ogos Mengapa hari ini baru mempertikaikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang?.

Jika alasan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) yang memutuskan semua surau dan masjid di Pulau Pinang tidak dibenarkan memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Qur’an menggunakan pembesar suara atas alasan ‘menganggu ketenteraman masyarakat sekitar yang sedang tidur di waktu Subuh’, adakah selama 54 tahun kita merdeka, baru sekarang ia menganggu ketenteraman awam.

Demikian persoalan yang dilontarkan Pengerusi Pertubuhan For Justice, Anuar Basiran yang hairan dengan keputusan terkini, namun percaya keputusan ini ada kaitan dengan pengaruh dan kuasa kerajaan negeri yang berpaksikan keputusan parti DAP yang rasis.

“Apa nak hairan kalau satu masa nanti, arahan sebegini akan menular ke negeri-negeri yang di bawah pemerintahan parti pembangkang lain. Mungkin juga arahan agar melarang Azan menggunakan pembesar suara akan dibuat oleh pihak-pihak ini.

“Kita juga hairan dengan sikap Pas yang nampaknya tidak konsisten dalam menyuarakan pendirian berhubung perkara ini,” ujarnya.

Namun pada masa yang sama, Anuar turut memuji dan bersetuju dengan kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Harun Taib baru-baru ini yang menegaskan bahawa Al-Quran mesti disampaikan kepada semua manusia tanpa tunduk kepada apa sahaja bentuk halangan.

“Nampaknya pandangan Harun bertentangan dengan pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyokong cadangan agar dihapuskan bacaan Al-Quran sebelum azan subuh jika mengganggu tidur orang lain dalam isu itu di Pulau Pinang.

“Kami juga berharap agar Nik Aziz tidak terlalu menjaga hati ‘sahabatnya’ dalam DAP dan terlalu menjaga undi ‘bukan Melayu’ semata-mata untuk mengekalkan kuasa yang mereka ada, sehingga terpaksa `menjual atau mempergadaikan’ Islam yang selama ini menjadi perjuangan mereka,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Berita Bertarikh 18 August 2011 Pada 1:53 PM





Bogel: Siasat dakwaan wanita PSM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mendesak Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Negara menyiasat dakwaan tiga wanita parti Sosialis Malaysia (PSM) bahawa mereka diperlakukan tidak sopan sewaktu dalam tahanan polis di Pulau Pinang Jun lalu.

Ketua Penerangan, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, insiden sedemikian tidak seharusnya berlaku khususnya selepas Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Polis (IPCMC) menegaskan bahawa tindakan membogelkan orang kena tahan (OKT) adalah salah dan wajar dihentikan serta merta.

"Muslimat PAS mendesak Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien Onn selaku Menteri yang bertanggungjawab segera mengarahkan Ketua Polis Negara menjalankan siasatan ke atas dakwaan ini dan wajib mengambil tindakan lebih tegas kepada semua anggota Polis yang terlibat dalam kejadian tidak bermoral, biadab, tidak menghormati martabat insan, membelakangi syor-syor IPCMC hatta sangat tidak Islamik ini," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tiga wanita terbabit, G Packialetchumy, P Indra dan P Jody yang ditahan bersama lebih kurang 28 orang yang lain pada 25 Jun lalu di Balai Polis Kepala Batas, Pulau Pinang sewaktu menyertai program jelajah parti itu.

Sewaktu di dalam lokap, mereka dipaksa menanggalkan pakaian dan berbogel di hadapan anggota polis wanita dan juga anggota polis lelaki.

Aiman berkata, tindakan tersebut jelas menjatuhkan maruah manusia dan memburukkan imej serta mencemar kecantikan Islam di mata rakyat apatah lagi majoriti Menteri Kabinet, pimpinan-pimpinan tertinggi Polis dan anggota polis itu sendiri adalah beragama Islam.

"Hatta, pentadbiran BN sendiri telah dengan bangganya mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam namun budaya kerja anggota polis yang terbabit ini sangat jauh daripada ajaran Islam," katanya.

Justeru DMPP mendesak Hishammuddin dan Tan Sri Ismail Omar segera mengemukakan permohonan maaf kepada seluruh Wanita Malaysia atas kebiadapan anggota dan kakitangannya.

Sekiranya mereka tidak berbuat demikian , DMPP bersama badan bukan kerajaan (NGO) wanita tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan satu Himpunan Wanita bagi menuntut agar kerajaan menghormati maruah seluruh kaum ibu yang ada di negara ini.

"Isu membogelkan tahanan dan menanggalkan pakaian tahanan secara paksa adalah kejadian yang sering berulang. Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sewajarnya berasa malu kerana ternyata gagal memastikan kakitangan dan anggota mereka daripada melakukan tindakan terkutuk seperti ini.

"Ini termasuk juga tindakan kekerasan seperti memukul dan menendang tahanan. Apatah lagi yang terlibat ini ternyata bukan penjenayah, tetapi lebih bersifat ”tahanan politik”, lantaran mereka berbeza parti daripada pemerintah iaitu Barisan Nasional.

"Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara wajar menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam menyelesaikan masalah seperti ini dan seterusnya memastikan agar ianya sama sekali tidak akan berulang.

"Hukuman lebih berat wajar dipertimbangkan terhadap anggota-anggota polis yang terlibat melakukan kesalahan ini termasuk kemungkinan hukuman seperti ”Qisas” (balas balik – bogelkan pula anggota polis yang terlibat) agar mereka belajar memahami apakah maknanya menghormati martabat insan itu," tegasnya.

Semalam tiga wanita terbabit diiringi pimpinan parti menyerahkan memorandum ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengadu mengenai perkara tersebut.

Harakahdaily @18 Ogos 2011