KUALA LUMPUR 9 Ogos – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein hari menggesa pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan terperinci berhubung pendedahan wujud 12 soalan kuiz mengenai agama Islam ketika pemeriksaan agensi berkenaan di Gereja Methodist baru-baru ini
Serentak itu juga beliau menyarankan agar JAIS tidak gentar dengan mana-mana pihak berhubung tindakannya itu kerana ianya adalah menjadi tugas dan kewajipan kepada agensi tersebut untuk mencegah daripada sebarang anasir yang boleh menyebabkan Islam tergugat selain mengelakkan keharmonian kaum dan agama yang ada pada hari ini terjejas.
“Jika benar seperti yang didakwa bahawa wujud 12 soalan kuiz mengenai agama Islam ketika pemeriksaan oleh JAIS di Gereja Methodist baru-baru ini, ianya adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak gereja.
“Bukankah Perlembagaan ada menyatakan bahawa agama lain tidak dibenarkan disebarkan kepada umat Islam, manakala bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing tanpa ada sekatan daripada mana-mana pihak. Bukankah itu sudah jelas.
“Jadi bagi saya, tindakan JAIS membuat pemeriksaan ke Gereja berkenaan baru-baru ini adalah munasabah dan kita kena pertahankan dalam apa jua keadaan jika betul dan sahih bahawa wujud unsur yang mengelirukan. Namun jika tidak ada bukti sekalipun, pencegahan harus dilakukan agar Islam terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penemuan bukti oleh JAIS ketika serbuan ke Gereja Methodist di Damansara minggu lalu yang antara lain menemui soalan berbentuk kuiz tentang agama Islam.
Wakil 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor yang juga Pengerusi Persatuan Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Dzulkhaini Hussain berkata soalan berkenaan amat mengelirukan terutama kepada penganut Islam.
Antara kandungan soalan dalam kertas cetakan itu ialah malaikat manakah yang dipercayai menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad ? Apakah maksud perkataan ISLAM? Apakah maksud perkataan MUSLIM? Apakah maksud perkataan QURAN?.
Bagaimana pun katanya apabila JAIS dan Polis berjaya masuk membuat pemeriksaan selepas 20 minit menunggu di ruang luar, pihak gereja didapati membuang dan mengoyak kertas kuis berkenaan ke dalam tong sampah.
Dr Yusoff seterusnya melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan sesetangah pihak yang masih lagi sanggup mengutamakan kepentingan politik dan bukannya melihat kepentingan agama untuk duduk bersatu di bawah satu payung agar Islam terpelihara.
Tegas beliau jangan sesekali meletakkan politik melebihi kepentingan agama kerana agama mesti berada di atas walaupun dalam apa jua keadaan.
“Dalam hirarki, paling atas adalah agama dan dibawahnya itu barulah ada pecahannnya politik, ekonomi sosial dan sebagainya. Jangan sesekali meletakkan politik melebihi agama,” katanya. – MediaUMNO
Berita Bertarikh 9 August 2011 Pada 3:11 PM @ UMNO ONLINE


No comments:
Post a Comment