KUALA LUMPUR, 7 Sept -Malaysia menggesa baki 21 negara anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) agar segera membuat pendirian dan keputusan berhubung pengiktirafan negara Palestin merdeka.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pengiktirafan itu hendaklah berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Beliau berkata, antara isu utama buat NAM ialah penubuhan negara Palestin dan setiap negara anggota harus mengkaji isu itu dengan serius memandangkan sudah 44 tahun saudara-saudara di Palestin hidup menderita di bawah pendudukan haram tentera Israel.
“Oleh itu,NAM mesti membantu Palestin untuk menamatkan pendudukan haram itu dan menjayakan Penyelesaian dua-Negara.
“Pengiktirafan Negara Palestin merdeka akan menyumbang kepada pemulihan semula proses damai, yang sekarang dalam keadaan tidak menentu,” kata Anifah dalam ucapan pada Mesyuarat Peringatan Rasmi Tambahan bagi menyambut Ulang tahun ke 50NAM di Belgrade, Serbia Isnin lalu.
Teks ucapannya dikirim oleh Wisma Putra ke Bernama di sini hari ini.
Paling utama, keadaan keselamatan di Wilayah Palestin yang diduduki, secara keseluruhannnya terus bertambah buruk ekoran tindakan ganas regim Israel, kata beliau.
Anifah mengulangi desakannya di Bali Mei lepas bahawa masanya sudah tiba bagi negara anggota NAM bertindak dan menghentikan ucapan-ucapan kosong.
Menyentuh situasi di Somalia, negara yang bergabung dengan NAM yang mempunyai 120 anggota, beliau berkata ia perlu mendapat perhatian global khususnya dari pergerakan tersebut.
“Prihatin dengan situasi di Somalia, Malaysia telah menghantar misi kemanusiaan ke sana untuk membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu, dan ketika menjalankan misi murni itu seorang daripada anak watan kami telah terkorban,” kata beliau.
Namun ini tidak menghalang Malaysia dari terus membantu Somalia, ujar Anifah.
Berita Bertarikh 7 September 2011 Pada 5:09 PM @ Umno online
No comments:
Post a Comment