KUALA LUMPUR, 12 Jan – Majlis Peguam seharusnya tidak membabitkan diri berhubung kes pertuduhan liwat membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pengamal Undang-Undang, Norazita Abdul Kadir berkata, Majlis Peguam seharusnya berkecuali dalam perkara itu dan membiarkan proses mahkamah dijalankan secara adil untuk semua pihak yang terbabit.
“Tindakan Majlis Peguam mengesa Peguam Negara tidak membuat rayuan adalah suatu yang tidak betul, semua orang mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan dan terpulang kepada individu terbabit.
“Kita tidak tahu mengapa Majlis Peguam sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu, sepatutnya mereka berkecuali dan biarkan proses perundangan berjalan seperti mana dengan kes-kes lain di negara ini yang membolehkan ia dibicara sehingga peringkat lebih tinggi,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Menurutnya, berdasarkan kepada keputusan mahkamah Anwar dilepaskan kerana pertuduhan yang dibuat tidak mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkannya dengan kes berkenaan seperti yang dinyatakan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah .
“Anwar dibebaskan oleh hakim kerana sampel DNA dalam perbicaraan itu diragui, mahkamah juga tidak yakin bahawa bahan berkenaan tidak dicemari, sebab itu bahan bukti itu ditolak, bila tak ada bahan bukti maka pertuduahan terhadap Anwar tidak boleh dilakukan. Ini lebih kepada aspek teknikal.
“Saiful masih mempunyai hak dan ruang untuk membawa kes berkenaan ke peringkat lebih tinggi, jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan, sistem kehakiman negara ini memberi ruang kepada siapa sahaja untuk mendapat keadilan yang seadil-adilnya.
“Dalam perkara ini Majlis Peguam seharus tidak membuat kenyataan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai tafsiran, sudah pasti ada pihak yang menuduh Majlis Peguam berpihak kepada Anwar apabila membuat kenyataan sebegitu,” ujarnya.
Norazita berkata, sebagai sebuah pertubuhan atau badan perundangan, Majlis Peguam seharusnya membiarkan pihak terbabit membuat keputusan atau tindakan seterusnya terhadap apa yang ingin dilakukan terhadap keputusan yang diterima, mereka tidak seharusnya prejudis terhadap apa yang berlaku, ia adalah haknya sebagai rakyat untuk mendapat keadilan.
Majlis Peguam seharusnya tidak memberi komen atau ulasan berhubung perkara berkenaan kerana kes berkenaan dianggap kes berprofail tinggi. -MediaUMNO
DI TULIS OLEH : Mohd Nasri Zakariah
DISUNTING DARI UMNO ONLINE @ DISIAR PADA 12 JANUARI 2012
No comments:
Post a Comment