KUALA LUMPUR, 24 Nov – Perbincangan bernas dengan semangat 1Malaysia untuk mantapkan agenda Melayu dalam kerajaan, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan pasti menjadi intipati dalam ucapan perwakilan pada Persidangan Wanita, Pemuda, Puteri dan Perhimpunan Agung UMNO, demikian menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Jelas beliau perkara tersebut adalah agenda mesti yang tidak boleh dikesampingkan kerana perjuangan membela bangsa Melayu termaktub dalam Perlembagaan UMNO yang juga tercatat bahawa UMNO bersama memperjuangkan untung nasib rakyat Malaysia yang lain.
Pada masa yang sama beliau juga berharap dalam membicarakan perkara-perkara tersebut perwakilan yang berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 tidak menyinggung perasaan kaum lain apabila membicarakan agenda Melayu.
“Dalam konteks gagasan 1Malaysia, agenda Melayu masih boleh dikembangkan dengan baik tanpa mengguris perasaan kaum lain yang terdapat di negara ini. Di sebalik luahan sentimen yang ingin kita nyatakan, jangan lupa bahawa kita dibumbungi dengan dasar 1Malaysia.
“Apabila kita beri pandangan tertentu, kita masih perlu memikirkan perasaan kaum lain yang pelbagai dalam negara ini,” katanya selepas merasmikan Festival Seni dan Kebudayaan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di sini.
Tegasnya lagi UMNO sebagai tunjang parti Barisan Nasional perlu memberikan panduan yang bermanfaat dan dihormati oleh semua kaum.
“Tapi jangan pula kita apabila sudah bercerita tentang gagasan 1Malaysia, lantas kita tak menyentuh langsung tentang agenda Melayu, itu tak betul.
“Dalam kesemua empat sidang yang akan berhimpun, jurucakap perlu sedar dan sensitif bahawa kita berada dalam negara pelbagai kaum yang perlu panduan daripada UMNO,” katanya.
Seramai 5,447 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 29 Nov hingga 3 Dis ini.
Mereka terdiri 2,627 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara, 944 perwakilan Wanita, 942 Pemuda dan 934 Puteri UMNO.
DISUNTING DARI UMNO ONLINE @ DISIARKAN PADA 20 JANUARI 2012
PERUNTUKAN DANA KHAS DIPERLUKAN UNTUK TABUNG KEBAJIKAN & DAKWAH ISLAM MENMBANTU MELAYU BUMIPETERA ,,, PEMANGKIN GENERASI YANG PENUH SIFAT WASSATIYYAH DAN INOVATIF.....
ReplyDelete