KUALA LUMPUR, 19 Jan – Tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup mengatakan sebarang bentuk peraturan yang menyekat kebebasan adalah undang-undang lapuk sebagaimana yang dilaporkan dalam wawancara dengan BBC News yang merujuk kepada perundangan di Malaysia adalah satu kenyataan terdesak, kata penganalisis politik tempatan Prof Datuk Dr. Zainal Kling.
Katanya, apabila Anwar sebagai pemimpin pembangkang berkata demikian dan memburukkan nama negaranya sendiri maka terbukti bahawa dia terperangkap dalam masalah peribadi dan cuba melarikan diri dari realiti politik dalam negara dengan cuba membawa anasir dari luar.
“Ini adalah cubaannya untuk menggembling liberalisme luar bagi menyokong diri dan kepimpinannya dengan membenarkan kegiatan-kegiatan yang dilihat menyokong amalan hubungan sejenis seperti yang diperjuangkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Telah ditegaskan bahawa kegiatan-kegiatan tersebut adalah sesuatu yang melampau dan melanggar hukum agama iaitu bukan hanya Islam tetapi mana-mana agama sekali pun waima Hindu, Kristian atau sebagainya,” katanya kepada UMNO-Online.
Terang beliau, sikap yang cuba mempergunakan tenaga-tenaga asing dan sokongan dari luar amat ditentang apatah lagi apabila ia melibatkan hal kehidupan dan hak asasi dalam negara ini.
“Ini adalah hal-hal yang fasik iaitu meninggalkan agama yang selama ini menjadi hukum dalam perundangan negara,” tegasnya.
Tambah beliau yang juga Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), golongan yang menyokong idea tersebut mesti ditolak apatah lagi mereka ini tidak memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Sekiranya individu sedemikian yang mahu diangkat sebagai pemimpin maka ia akan mewujudkan satu kepimpinan fasik yang tentunya dianggotai oleh golongan fasikin iaitu terdiri daripada individu atau golongan yang sudah terlanjur tetapi cuba membela diri dari pelbagai cara sama ada dari dalam negara atau menggemblingnya dari luar, asalkan boleh memenangkan dirinya sendiri,” katanya. - MediaUMNO
DISUNTING DARI UMNO ONLINE @ DISIARKAN PADA 20JANUARI 2012
No comments:
Post a Comment