bismillah

sura

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful

Say: He is Allah, the One and Only!
Allah, the Eternal, Absolute;
He begetteth not nor is He begotten.
And there is none like unto Him.


- translation by Abdullah Yusuf Ali

Thursday, 19 January 2012

Cederakan Kugan, konstabel diperintah bela diri

SHAH ALAM 19 Jan. - Konstabel V. Navindran yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap tahanan, A. Kugan, hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan pilihan mencederakan mangsa, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini dengan alasan prima facie berjaya dibuktikan bagi pertuduhan itu.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan yang bertindak sebagai perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas manakala Navindran diwakili peguam Datuk P. M. Nagarajan.

Navindran, 30, didakwa atas dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, yang merupakan suspek kes curi kereta mewah yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat D9, Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya dekat sini pada pukul 7 pagi dan 4 petang, 16 Januari 2009.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Konstabel itu turut didakwa atas dua pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan Kugan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Selepas perbicaraan selama 25 hari dengan 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, Hakim Aslam Zainuddin melepas dan membebaskan Navindran daripada dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan pada 28 Januari tahun lalu.

Beliau memutuskan untuk tidak memanggil anggota polis itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.

Kugan yang merupakan suspek dalam kes curi kereta meninggal dunia pada 19 Januari 2009, selepas empat hari ditahan di Balai Polis Taipan, USJ Subang Jaya dekat sini.

Keputusan bedah siasat pertama menunjukkan mendiang mati akibat paru-paru berair.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat diterima oleh ahli keluarganya yang memohon agar mayat Kugan dibedah siasat kali kedua.

- UTUSAN


DISUNTING DARI UTUSAN MALAYSIA @ DISIARKAN PADA 20 JANUARI 2012

No comments:

Post a Comment